Isnin, 25 Februari 2019

Bentan

Apa itu bentan?

Mesti kita biasa dengar kisah-kisah ibu berpantang yang alami bentan. Bentan ini ialah di mana ketika ibu berpantang, yang tiba-tiba tak sihat keadaan fizikal dan emosi hingga mengganggu keselesaan ibu tersebut akibat daripada kesakitan yang tidak tahu puncanya. Bentan ini mudah terjadi di awal tempoh berpantang, pertengahan atau selepas habis pantang.

Disebabkan itulah pentingnya proses berpantang bagi ibu-ibu yang baru lepas melahirkan anak. Perlu menjaga pergerakan, tidak banyak bergerak, tidak mengangkat benda-benda berat. Dan adakalanya proses untuk memandikan bayi juga perlu diserahkan kepada suami atau emak sendiri. Atau mengambil seorang penjaga pantang untuk menjaga dan membantu ibu memandikan bayi dan mengurus bayi dalam tempoh seminggu hingga dua minggu pantang.

Beberapa perkara yang perlu dielakkan dan dijaga untuk mengelak bentan antaranya :

1. Perlu banyakkan rehat. Tidak melakukan kerja-kerja rumah, kerja mengurus bayi kecil ketika awal tempoh berpantang.

2. Menjaga emosi. Tidak terlalu sedih dan tidak terlalu gembira. Ibu berpantang berada dalam keadaan kotor kerana keluarkan darah nifas. Oleh itu, banyakkanlah mengingat Allah, berselawat, berzikir untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Kerana ketika inilah ada kalanya emosi ibu tidak stabil.

3. Jaga kebersihan diri ketika masih berpantang. Kerap menukar tuala wanita

4. Jaga pemakanan. Jangan makan makanan sejuk. Tidak minum ais. Orang tua dulu-dulu pernah berpesan jangan makan pulut, makanan yang agak keras seperti tapai, makanan yang gatal-gatal.

5. Pakai pakaian yang sesuai ketika berpantang. Kain sarung, baju t-shirt yang longgar untuk memudahkan aliran udara. Pakai stokin untuk elakkan kaki sejuk.

6. Jaga pergerakan. Tidak berjalan laju seperti orang sihat. Elakkan terlanggar atau tersadung kerusi atau lain-lain.

Amat penting sekali suami membantu isteri dalam tempoh berpantang. Peranan suami membantu emosi isteri lebih stabil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan