Khamis, 24 Januari 2019

Kepentingan Berpantang

Tek : Rosnani Hashim


Assalamualaikum semua. Lama Kak Ros tak update blog. Tahun 2019 ni nak cuba update entri di blog sebaiknya. Doakan moga Kak Ros boleh sentiasa update dan menulis di blog untuk perkongsian kalian ya.

Kali ini Kak Ros mahu kongsikan kepentingan berpantang untuk ibu-ibu kita yang bakal melahirkan cahaya mata. Untuk ibu-ibu yang akan bersalin, perkara utama yang perlu ditempuhi proses berpantang. Yang mana berpantang ini kebanyakan masyarakat melayu mengamalkannya dalam tempoh 44 hari paling minima dan ada juga yang betul-betul berpantang sehingga 100 hari. 

Berpantang ini sememangnya perlu diamalkan oleh semua wanita yang telah bersalin kerana ia merupakan satu proses untuk merehatkan tubuh badan setelah berhempas pulas, menggunakan sepenuh tenaga untuk melahirkan cahaya mata ke dunia.  Jadinya proses ini sangat menyakitkan, dan akan menyebabkan seluruh anggota tubuh badan kita lemah. Wanita dimestikan berpantang juga untuk memulihkan keadaan dan luka dalaman organ-organ dan sistem peranakan setelah hamil 9 bulan.  Selain menjaga jahitan daripada terbuka terutamanya untuk yang bersalin secara pembedahan. 

Ia juga dikenali sebagai tempoh berehat dan proses baik pulih tubuh badan, untuk mengembalikan bentuk badan kepada normal ketika belum mengandung. Orang tua-tua dulu kata, "kalau nak pakai badan lama kenalah jaga badan dan mesti berpantang selepas bersalin." 

Wanita diharus mengamalkan pantang ini untuk pastikan tubuh badan kita kembali sihat seperti sedia kala untuk urus anak kecil dan juga keluarga. Apa yang lebih penting lagi, ia juga untuk menjaga emosi ibu-ibu yang baru lepas bersalin.  Ada ibu-ibu yang mengalami pengalaman pahit ketika mengandung dan bersalin. Disebabkan itu, proses pantang ini untuk membantu ibu-ibu mengawal semula emosi, mengelakkan berlakunya trauma atau meroyan.  Apa yang paling kita risaukan sekali ialah depresi atau meroyan bagi ibu yang baru lepas bersalin.  Inilah yang perkara yang mahu dielakkan. Dan dalam Islam sendiri, haram suami isteri melakukan hubungan kelamin ketika isteri sedang dalam tempoh berpantang. Kerana ketika ini darah nifas sedang keluar.

Berpantang ini sebenarnya bukan hanya pada makanan.  Ibu-ibu perlu berpantang dari segi minuman, penjagaan tubuh badan, aktiviti seharian serta hubungan seks antara suami isteri.

Pantang dari segi makanan ibu-ibu tak digalakkan untuk mengambil makanan yang sejuk-sejuk seperti kangkung, bayam, timun atau buah-buahan.  Lauk yang menyebabkan kegatalan seperti ikan tongkol atau makanan laut.

Aktiviti harian juga perlu dijaga. Kita digalakkan tidak melakukan kerja-kerja rumah yang berat. Mengangkat barang berat, untuk mengelak jatuh peranakan atau jahitan terbuka. Selain itu, semasa tempoh berpantang ibu digalakkan untuk memakai stokin, dan juga melakukan keperluan berpantang yang lain. Nanti saya kongsi dalam entri seterusnya. Apa proses yang patut dilakukan selepas melahirkan anak, ketika proses berpantang. 

Kalian ibu-ibu yang bakal bersalin, bersiap sedia untuk tempoh berpantang. Biar nampak leceh, tapi yang penting kesihatan kita terjaga dengan baik. Tubuh badan kita kembali sihat seperti sedia kala sebelum meneruskan semula aktiviti dan tugas harian di rumah sebagai isteri dan ibu.


Kak Ros
Penjaga Pantang....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan